BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, October 1, 2011

ISLAM PADA AKHIR ZAMAN...


Rasullah S.A.W pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita telah merasai keasingan Islam itu.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

"Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan sebagaimana ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah orang asing itu? Rasulullah S.A.W menjawab orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa".
(Riwayat Muslim)

Jika kita membaca sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W kita akan dapati bagaimana risalah Islam yang dibawa oleh Baginda dianggap asing sehingga ditentang hebat oleh kafir Quraisy Mekah. Dakwah kepada agama tauhid yang dibawa oleh Rasulullah pada peringkat awalnya hanya diimani oleh kalangan keluarga dan sahabat terdekat sahaja. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W dianggap asing dan pelik oleh masyarakat Jahiliah apatah lagi Rasulullah S.A.W menentang berhala-berhala mereka, menentang amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan, menentang perzinaan, adat dan budaya yang biasa mereka agungkan.

Justeru, apabila Rasulullah S.A.W membawa sesuatu yang bertentangan dengan amalan nenek moyang mereka maka mereka mula bertindak balas dengan menghina, mencela Rasulullah dan menyeksa serta membunuh para sahabat. Inilah gambaran tentang asingnya Islam itu pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W.

Firman Allah S.W.T dalam surah Hud ayat 120 yang bermaksud:

"Setiap berita daripada Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya; telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman".

(Sedutan Khutbah Masjid Universiti Putra Malaysia: 30 September 2011/ 2 Zulkaedah 1432H)

0 comments: